Dunia

Makcik Hello Kitty rindukan anakna yang dibawa suami Mat Salleh

Di sebalik patung comel itu, sebenarnya adalah seorang warga emas berusia 56 tahun yang mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.

KUANTAN: Kalau berkunjung ke Pantai Teluk Cempedak, Kuantan, pastinya pengunjung akan terlihat susuk maskot Hello Kitty yang menghibur orang ramai di kawasan peranginan popular di Negeri Pantai Timur berkenaan.

Di sebalik patung comel itu, sebenarnya adalah seorang warga emas berusia 56 tahun yang mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.

Tidak kisah menerima walau RM1 sekali pun, Siti Endon Ismail, yang digelar “Makcik Hello Kitty” ceria melayan pengunjung terutama kanak-kanak yang ingin bergambar dengannya.

Siti Endon sebenarnya telah tiga tahun menghiburkan pengunjung di pantai itu.

Matlamatnya, adalah ingin mencari wang untuk dirinya dan puluhan kucing jalanan yang dibela.

“Pakai maskot ni semata-mata kerana kucing kerana saya nak nak pupuk semangat kasih sayang orang ramai pada kucing dan menarik orang biar orang sukakan kucing tak aniaya kucing jadi saya sendiri kena pakai kena buat macamni laa biar saya ni pakai kucing nampak macam ni saya suka kucing,” katanya semasa ditemui Astro AWANI di rumahnya di sini.

Dia mula memakai kostume Hello Kitty dan juga beberapa karektor lain sejak pagi sehingga ke lewat malam.

Cabaran yang dipikulnya cukup berat, pada usia emas, dia terpaksa menahan kepanasan kerana terpaksa berada berjam-jam dalam kostum itu demi mencari rezeki.

Di sebalik patung comel itu, sebenarnya adalah seorang warga emas berusia 56 tahun yang mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.

Siti Endon kini menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan kucing kesayangan.

Pernah berkahwin dengan ‘Mat Salleh’

Namun di sebalik semua cerita itu, wanita gigih ini sebenarnya pernah berkahwin dengan seorang warga Scotland dan dikurniakan empat orang anak.

Namun, hubungan mereka terpisah sejak 20 tahun lalu kerana wanita itu sebelum ini enggan mengikut suami ke negara asalnya.

“Dia (suami) ajak saya balik sana. Saya pun terfikir saya tak nak duduk tempat dia. Selepas itu fikir-fikir, saya rasa pendidikan sini, dengan sana, sana lagi tinggi.

“Saya bercita-cita tinggi supaya anak saya pun semua masa belajar dekat sini. Jadi, apabila dia belajar tinggi dia kena pergi sana juga. Walau macamana lagi pun orang cakap kalau kita nak belajar dari peringkat rendah, kita kena belajar sana dan sebab itu saya lepas tu mereka semua sekali pergi ke sana,” ujarnya sebak.

Dia bagaimanapun masih menaruh harapan untuk berjumpa anak-anaknya.

Siti Endon cuba menghubungi mereka, namun gagal sehingga ke hari ini.

“Saya ada cuba hubungi nombor telefon suami sebelum ini, tetapi sehingga kini nombor itu tidak dapat dihubungi,”

Baginya, kini, dia mahu menumpukan seluruh kehidupannya kepada kucing akan terus melakukan ini semua sehingga akhir hayatnya.

Jika ada modal, dia mahu membuka kedai kucing yang menjual makanan dan kelengkapan haiwan peliharaan itu. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *