Connect with us

Amalan

Ketahui kemusykilan mengenai puasa 6 di bulan Syawal

Published

on

Dari segi bahasa puasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu. Dari segi syarak pula puasa bermaksud menahan diri pada waktu siang daripada melakukan perkara-perkara tertentu dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Puasa juga boleh difahami sebagai mencegah diri daripada memenuhi dan melayan tuntutan syahwat perut seperti memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan pada waktu yang tertentu iaitu dari fajar sehingga terbenam matahari.

ORANG yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan kerana Allah, mereka layak untuk mendapat pelbagai kenikmatan daripada Maha Pencipta.

Di antara nikmat yang sungguh hebat ialah dikhususkan kepada mereka yang berpuasa satu syurga yang hanya untuk orang-orang yang berpuasa sahaja.

Ini berdasarkan sebuah hadis baginda Rasulullah: Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun. – [ HR Bukhari 2840].

Kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal

Sabda Rasulullah: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. – [HR Muslim 1164].

Kefahaman dari hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.

Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.

Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Ramai memilih untuk melakukan puasa enam hari selepas pada bulan Syawal.

1. Apakah hukum puasa enam hari di bulan syawal?

Puasa enam merupakan amalan sunat. Telah berkata Imam An-Nawawi: Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafie bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

2. Bilakah Puasa enam hari di bulan syawal perlu dilakukan?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [HR Bukhari 1991]

3. Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau secara berasingan?

Tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.

Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya puasa enam hari tidak dilakukan secara berturut-turut.

4. Adakah puasa sunat enam hari di bulan Syawal dibuat sebelum mengqada puasa Ramadan?

Terdapat perbincangan di kalangan para fuqaha’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu masih belum mengadakan puasa Ramadan yang belum diqadanya atau ia tidak menjadi masalah untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal dahulu? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.

Pandangan Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Saidatina Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqadanya hingga ke bulan Syaaban yang akan datang. Aisyah ra berkata:

Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban. – [HR Muslim 1146].

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal.

Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

Menurut Imam An-Nawawi, Mazhab Maliki, Abu Hanifah, Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya”. – (Syarah Sahih Muslim 8/22).

Pandangan Kedua : Tidak boleh, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah meletakkan syarat “berpuasa Ramadan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”.

Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadannya. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

5. Boleh atau tidak menggabungkan puasa qada dan puasa enam?

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah di bolehkan menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qada dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf dalam kalangan ulama, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dalam kalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. – (Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428).

Maka sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.

PENUTUP

Sesungguhnya puasa adalah ibadat yang penuh dengan segala keistimewaan terutamanya puasa Ramadhan. Puasa yang dilakukan dengan sempurna meletakkan orang yang berpuasa mendapat ganjaran yang tidak terhitung banyaknya ibarat lautan tidak bertepi yang disediakan oleh Allah SWT. Selain mendapat pahala kerana berpuasa maka ibadat ini juga menjadi sekolah yang melatih hamba Allah memenuhi diri atau meperlengkapkan diri dengan akhlak mulia seperti sabar, pemurah, rajin, penyanyang dan bertimbang rasa di samping mendidik manusia supaya mengenal diri sebenar bahawa mereka adalah hamba Allah yang serba kekurangan dan sentiasa mengharapkan rahmat daripada Allah SWT. Orang yang berpuasa sebenarnya berperang dengan nafsunya. Sesiapa sahaja yang berjaya menyekat nafsunya daripada menguasai dirinya sepanjang ia berpuasa maka ia telah mencapai kejayaan. Kesimpulannya, melaksanakan puasa Ramadhan adalah wajib hukumnya dan jika tidak dapat dilakukan pada waktunya kerana keuzuran maka wajiblah diqadakan. Namun begitu lebih cantik lagi bagi seseorang muslim yang telah berpuasa Ramadhan supaya berpuasa sunat mengikut pilihan dan kemampuan kerana yang demikian menambahkan lagi pahala dan lebih mendekatkan lagi dirinya dengan Allah SWT.

sumber: mstar

Continue Reading
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Amalan

Kisah Low Seng Terbuka hati peluk Islam

Published

on

By

KELUHURAN hati sebuah keluarga menghulurkan bantuan tanpa melihat perbezaan bangsa membuka hati Low Seng Teong atau Syukri Low Abdullah, 72, memeluk Islam, kelmarin.

Warga emas itu yang sebelum ini merempat di sebuah pondok menunggu di Flat Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor diselamatkan keluarga Mohd Izham Mohd Hisham Tan, 28, sejak lebih 10 hari lalu.

Mohd Izham yang juga seorang ‘runner’ berkata, pelawaan bapanya menawarkan tempat tinggal sementara di koridor luar rumahnya di flat berkenaan kepada Syukri dianggap sebagai asbab permulaannya berbakti kepada warga emas terbabit.

“Ayah menawarkan ‘uncle’ itu tidur di sofa luar rumah kami kerana rumah kami yang berbilik dua sempit tambahan lagi tidak manis kerana ibu tinggal bersama kami.

“Sepanjang 10 hari dia menetap di luar rumah kami, kami beri dia makan dan keperluan, namun dia tidak pernah sekalipun mengambil kesempatan meminta-minta apatah lagi menyusahkan kami.

“‘Uncle’ ini sudah uzur dan sebatang kara, hanya ada seorang anak angkat pekak dan bisu yang dibelanya sejak kecil,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dengan bantuan seorang wanita yang baru dikenali, mereka menyewa bilik dengan kos RM260 sebulan di Taman Bukit Dahlia untuk keselesaan dua beranak itu.

“Setiap hari sebelum pergi dan balik kerja, saya akan singgah menghantar makanan dan melihat keperluan diperlukan dua beranak ini.

“Malah kelmarin dengan bantuan wanita ini juga, kami berjaya membawa seorang pegawai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia untuk menunaikan permintaan ‘uncle’ memeluk Islam.

“Luluh hati saya, malah saya kagum dengan kesungguhannya mahu memeluk Islam dalam keadaan serba kekurangan tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak,” katanya.

Mohd Izham berkata, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini selesai, mereka merancang membantu warga emas itu memohon bantuan Baitulmal, menghadiri kelas Fardu Ain dan mendalami Islam.

“Cantik aturan Allah, saya bersyukur kerana Allah menjentik hati saya membantu ‘uncle’ ini pada kali pertama dahulu, semoga memudahkan lagi usaha kami dalam meringankan bebannya sampai akhir usianya,” katanya.

Sementara itu, Syukri berkata, dia bersyukur dipertemukan dengan keluarga pemuda terbabit yang mengubah nasib hidupnya termasuk menjadi seorang saudara baharu.

Katanya, nama Syukri itu dipilih sendiri menggambarkan dirinya yang bersyukur dengan keajaiban berlaku dalam hidupnya.

“Izham dan keluarganya termasuk wanita bernama Su itu sudah saya anggap macam anak sendiri kerana melayan saya dengan baik tanpa membezakan warna kulit.

“Pengislaman saya tiada paksaan, tetapi keprihatinan dan keikhlasan mereka membuatkan saya terharu dan terbuka hati untuk mengenali dan memeluk Islam.

“Saya tekad tak mahu sia-siakan peluang ini untuk mendalami Islam dan jika ada kesempatan, saya mahu menunaikan puasa pertama Ramadan nanti,” katanya.

sumber: hmetro

Continue Reading

Amalan

Ramai Mintak Haramkan Arak, Sekali Siti Kassim Minta Haramkan Sekolah Tahfiz

Published

on

By

Peguam kontroversi sekali lagi menjadi bualan masyarakat selepas jawapannya yang agak ‘panas’ mengulas cadangan Pas untuk menggantung penjualan arak disebabkan peningkatan kes pemandu mabuk di negara ini.

Ini kata Siti Kassim berhubung peningkatan kes libatkan pemandu mabuk.

“Alkohol itu bukan masalah. Tapi peminum yang tidak bertanggungjawab itulah punca masalah sebenar. Begitu juga dengan isu yang melibatkan sekolah tahfiz. Masalahnya adalah disebabkan oleh pihak pengurusan sekolah.

Kalau begitu haramkan juga sekolah tahfiz!

Lebih mengejutkan bila mana dia turut memberikan cadangan supaya mengharamkan sekolah tahfiz disebabkan banyak masalah melibatkan anak kecil, lapor Suara TV.

“Kamu (Pas) mahu mengharamkan alkohol hanya kerana menepati kehendak anda, kalau begitu haramkan juga sekolah tahfiz yang telah menyebabkan banyak masalah terhadap anak kecil yang tidak berdosa,”

Mengulas lanjut Siti Kassim berkata, Pas sepatutnya tidak menghalang orang lain untuk meminum arak.

“Kamu tidak boleh memaksa orang lain untuk akur dengan kehendak moral dan kepercayaan kamu. Hanya kerana kamu tidak menyukainya, jangan halang orang lain untuk menikmatinya (minum arak),”

Sebelum ini Pas ada mencadangkan kepada kerajaan untuk menggantung pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga langkah baru diambil dalam usaha mengekang pemandu mabuk susulan peningkatan melibatkan isu tersebut.

Biarlah suami saya mangsa akhir pemandu mabuk

ISTERI kepada mangsa yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian Isnin lalu, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa suaminya.

Menurut Zeti Haryanti Hassan, 42, dia berharap kerajaan memperkasakan undang-undang berkaitan pemandu di bawah pengaruh alkohol dengan menambah baik undang-undang dan peraturan berkaitan.

Harapan itu katanya supaya nasib keluarga mangsa seperti dia alami dapat dibela dengan sewajarnya.

“Saya berharap sungguh biarlah suami saya ini mangsa yang terakhir, jangan ada lagi selepas ini. Walaupun nyawa dibalas dengan nyawa sekali pun ia tidak mampu kembalikan suami saya.

“Saya sedih atas apa yang berlaku namun reda dengan kejadian berlaku semasa arwah dalam perjalanan mencari rezeki untuk keluarga,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Al Raudah Baru, di sini, hari ini.

Suaminya, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas kereta Toyota Yaris dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR dipandu oleh seorang peraih ikan berusia 42 tahun secara melawan arus dalam keadaan mabuk pada kejadian jam 9.20 malam, Isnin lalu.

Jenazah selamat dikebumikan sekitar jam 4.30 petang selepas disolatkan di Masjid Al Raudah di sini.

Beliau meninggalkan seorang isteri serta dua anak Puteri Nur Qistina Irwan Herman, 14, dan Amanda Nur Fitrisya, 8.

Zeti Haryanti yang masih trauma dengan pemergian suaminya berharap masyarakat mengambil iktibar kejadian ini dan meminta semua pengguna jalan raya bertanggungjawab terhadap nyawa sendiri dan orang lain.

“Apabila kita memandu, kita berhati-hati dan perlu bertanggungjawab. Perlu ingat ada nyawa orang lain dan bukan nyawa kita sendiri.

“Saya sangat sedih atas apa yang berlaku, petang sebelum kejadian kami sempat berbual macam biasa. Sebelum keluar bekerja kebiasaannya arwah suami akan beritahu saya dahulu.

“Saya akan cium tangannya dan dia cium dahi saya tapi itu tak berlaku pada hari kejadian. Dia terus pergi kerja mungkin nak cepat. Kalaulah kita tahu kan… mungkin tak bagi dia pergi kerja,” katanya.

sumber: hmetro

Continue Reading

Trending