Hukum Renjis Dan Bilas Kereta Dengan Air Ruqyah. | DUNIA & AKHIRAT : Seperti yang diketahui, air ruqyah merupakan air yang telah dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Air ini biasanya digunakan untuk perubatan Islam dan sebagainya. Bagaimanapun, sesetengah individu menggunakan air ini untuk merenjis atau membilas terhadap mana-mana kenderaan yang baharu. Sebagai umat Islam, perbuatan ini menimbulkan persoalan ramai dan ada yang berpendapat ini merupakan amalan khurafat.
Sehubungan itu, bagi menjernihkan pandangan orang ramai, mari kita ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai isu ini di bawah. Semoga bermanfaat.
RINGKASAN JAWAPAN
Perbuatan merenjis atau membilas kenderaan dengan air yang dibaca ruqyah adalah sesuatu yang dibenarkan dan diharuskan dalam syarak. Ia merupakan satu cara yang untuk melakukan ruqyah seperti yang disebutkan oleh para ulama. Selain itu, hujah Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah melakukannya tidak boleh diterima. Kerana tidak semestinya perkara yang ditinggalkan oleh mereka itu terus menjadi haram. Bahkan, terdapat banyak perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat, namun masih dalam hukumnya yang asal iaitu sunat dan harus. Oleh yang demikian, perbuatan tersebut bukanlah satu amalan yang khurafat dan ia tidak bertentangan dengan syariat.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam. Selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar bagi menjadi diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diinginkan. Seperti kecurian, kemalangan dan daripada penyakit seperti penyakit ‘ain dan seumpamanya. Berkaitan penyakit al-‘ain secara khusus. Nabi SAW pernah menyebut bahawa penyakit ‘ain ini merupakan sesuatu yang benar dan apabila seseorang diminta untuk mandi bagi menyembuhkan penyakit itu, maka hendaklah dia mandi. Sabda Baginda SAW:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا
Maksudnya: Penyakit al-‘Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi. Riwayat Muslim (5831)
Sebahagian ulama juga menyebutkan bahawa penyakit ‘ain ini menimpa haiwan dan benda-benda yang tidak bernyawa (al-jamādāt) seperti pokok, batu, kereta dan seumpamanya. Terdapat pelbagai cara untuk melindungi diri daripada penyakit ‘ain ini seperti membaca ruqyah dan doa. Ibn Kathir dalam tafsir menyebut bahawa sebahagian daripada salaf, apabila mereka melihat sesuatu yang menakjubkan mereka, mereka akan menyebut ‘ما شاء لا قوة إلا بالله’.[1] Untuk panduan cara dan doa yang lebih lanjut, rujuk artikel kami Al-Afkar #43: Penyakit ‘Ain Dan Rawatannya.
USAHA & IKHTIAR
Salah satu bentuk usaha dan ikhtiar juga adalah dengan memandikan atau membilas dengan air berdasarkan sabda Nabi SAW, ‘jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan, maka hendaklah kamu mandi’. Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara yang tidak bernyawa seperti rumah dan sebagainya.
وكذا يشرع قراءة بعض الأذكار والأوراد والتعوذات في ماء ثم يرش به المنزل الذي يتواجد فيه الجن والشياطين ؛ فإنه يبعدهم بإذن الله تعالى. والله الشافي.
Maksudnya: Begitu juga, diharuskan membaca beberapa zikir, wirid dan ta’awwudz pada air kemudian direnjiskan pada rumah yang terdapat jin dan syaitan. Cara ini akan menjauhkan mereka daripada tempat tersebut dengan izin Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Memberi Kesembuhan.[2] (Rujuk Mausu’ah Syar’iyyah fi Ilm al-Ruqa)
Oleh yang demikian, cara membacakan ayat al-Quran, zikir dan ta’awwudz kemudian merenjisnya pada sesuatu tempat atau barang, maka ia dibenarkan oleh syarak dan bukanlah sesuatu yang dilarang atau khurafat.
Huraian
Selain itu juga, sesuatu perkara yang tidak dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabat tidak semestinya perkara itu diharamkan oleh syarak. Terdapat banyak perkara yang harus dilakukan sekalipun Nabi SAW dan para sahabat tidak melakukannya. Perbahasan ini disebutkan sebagai al-tark iaitu sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sama ada dengan tujuan tertentu atau tanpa tujuan. Sesetengah golongan sengaja menimbulkan kekeliruan dengan menjadikannya sebagai hujah bahawa jika sesuatu itu baik sudah tentu Nabi SAW dan para sahabat terlebih dahulu akan melakukannya (لو كان خيرًا لسبقونا إليه), sedangkan perkara itu tidak benar. Berkaitan hal ini, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan dalam kitabnya Husn al-Tafahhum wa al-Dark li Mas’alat al-Tark bahawa:
والترك وحده إن لم يصحبه نص على أن المتروك محظور لا يكون حجة في ذلك بل غايته أن يفيد أن ترك ذلك الفعل مشروع. وإما أن ذلك الفعل المتروك يكون محظوراً فهذا لا يستفاد من الترك وحده، وإنما يستفاد من دليل يدل عليه.
Maksudnya: Perbuatan Rasulullah SAW tidak melakukan sesuatu perbuatan semata-mata, tanpa disertai dengan nas (al-Quran atau Hadis) yang menunjukkan perkara yang ditinggalkan itu haram, tidak boleh dijadikan sebagai hujah bagi mengharamkannya. Bahkan sebaliknya, ini menunjukkan bahawa perbuatan itu harus untuk dilakukan. Ini kerana sesuatu yang haram itu bukan hanya dilihat dari sudut Rasulullah SAW tidak melakukannya semata-mata, bahkan disabitkan dengan dalil (al-Quran dan Sunnah) yang menunjukkan kepada pengharaman tersebut.[3] (Rujuk Husn al-Tafahhum wa al-Dark, 11)
Huraian
Terdapat banyak perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan perkara itu tidak menjadi haram atas pelbagai sebab. Hal ini contohnya Nabi SAW pernah meninggal perbuatan memakan haiwan dhab walaupun dipelawa oleh para Sahabat kerana ia bukan adat Baginda SAW. Walau bagaimanapun, Baginda SAW tidak mengharamkan para sahabat daripada memakannya.[4] Justeru itu, tidak semestinya sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW merupakan satu perkara yang haram. Ini tidak boleh dijadikan hujah untuk mengharamkan sesuatu perbuatan yang tiada dalil daripada syarak yang menunjukkan kepada pengharaman tersebut.
Kesimpulan
Kesimpulannya, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan yang dibacakan dengan zikir dan doa ruqyah bukanlah suatu perkara yang khurafat. Bahkan ia adalah salah satu cara yang dibenarkan oleh syarak kerana tiada dalil yang melarangnya. Oleh yang demikian, tindakan tersebut harus untuk dilakukan dengan tujuan menjaga sesuatu barang atau kenderaan daripada penyakit al-‘ain dan musibah seumpamanya.
WaAllahu a’lam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Jika anda nak tahu tempat makan best boleh ke website kami : TEMPAT MAKAN BEST