PU Amin

PU Amin Huraikan Hukum Wanita Bermusafir Tanpa Mahram Dalam Misi Kemanusiaan.

2025-10-08

PU Amin Huraikan Hukum Wanita Bermusafir Tanpa Mahram Dalam Misi Kemanusiaan. | DUNIA DAN AKHIRAT : Isu penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan terutama Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza terus menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial tempatan sehingga ke hari ini.

PU Amin

Malah susulan penahanan para sukarelawan secara haram termasuk peserta wanita dari Malaysia oleh tentera Isr**l semalam. Isu tersebut kembali diperkatakan berhubung hukum mereka menyertai misi tanpa ditemani mahram.

Perkara ini mendorong penyampai radio iaitu Ajak untuk bertanyakan terus persoalan tersebut kepada pendakwah selebriti dikenali sebagai PU Amin dalam segmen Reset Jiwa Suria FM ketika ke udara bersama Fad Bocey.

Menurut PU Amin dalam rakaman sedutan segmen Reset tersebut. Hukum asal sememangnya tidak membenarkan para wanita untuk bermusafir tanpa mahram namun ada khilaf ulama mengenai perkara itu dalam situasi tertentu.

Pemilik nama sebenar Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim itu memaklumkan. Bahawa terdapat pengecualian diberikan kepada kaum wanita berdasarkan beberapa situasi dibenarkan merujuk kepada para ulama.

HADIS NABI S.A.W

“Hadis Nabi mengatakan larangan wanita musafir tanpa mahram sebab di dalamnya nanti akan hilang keamanan atau rosak keselamatan. Maka mahram akan membantu menyelamatkan wanita yang dijaga. Tetapi kita kena ingat, ada pengecualian dalam keadaan tertentu.

“Dalam agama walau ada satu hukum yang pada asalnya memang tak boleh, tetapi ada pengecualian. Contohnya hadis Safar di zaman Nabi, ada wanita-wanita bertindak meninggalkan suami dan mahram untuk berhijrah dengan Rasulullah SAW.

“Malah amalan para sahabat juga apabila melihat sesuatu rombongan itu aman dan terjaga. Contohnya seperti kita pergi umrah bukan dengan mahram tetapi yang sertai ada sekumpulan wanita bersama,” jelas PU Amin memberi contoh situasi tersebut.

Pendakwah itu memaklumkan perjalanan sedemikian dibenarkan walaupun tanpa ditemani mahram kerana dipercayai di dalamnya tidak akan ada masalah ikhtilat, maksiat dan pencerobohan.

Dalam pada itu, PU Amin juga sempat berkongsi tentang seorang wanita hebat. Ia dikenali sebagai Khaulah Binti Al-Azwar yang turut keluar berperang pada zaman Nabi hingga syahid walaupun dianggap sebagai insan lemah.

PU Amin dalam segmen tersebut turut memberi ulasan. Mengenai keperluan sukarelawan wanita menjadi antara peserta misi kemanusiaan ke Gaza di mana ramai kaum Hawa turut menjadi mangsa pergolakan di negara itu.

“Walaupun ada ulama mengatakan hukumnya haram, tetapi ada sebahagian ulama meletakkan pengecualian. Apabila sampai di Gaza, kita tahu ada kaum Hawa yang perlu disantuni oleh doktor perempuan dan harus ada pakar psikologi wanita.

“Pasti ada ibu-ibu yang nak berpelukan dan meluahkan perasaan kepada aktivis wanita. Jadi apabila ada kaum wanita yang pergi, perjalanan kita lagi lengkap dan paling penting dapat restu (daripada keluarga peserta),” ujarnya dalam rakaman tersebut.

Penjelasan yang diberikan oleh PU Amin dalam segmen tersebut turut dirakam sebelum dimuat naik oleh Suria FM di akaun TikTok milik stesen radio berkenaan menerusi hantaran video berdurasi tiga minit 31 saat.

@suriamalaysia Dengarkan ulasan Ustaz Amin tentang isu wanita yang ikut berjuang tanpa membawa mahram bersama. #suriamalaysia #resetjiwa #SuriaBersamaPalestin #sumudflotillanusantara🇲🇾🇵🇸 ♬ original sound – Suria Malaysia

Artikel Lain